PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menghentikan kutipan Tabung Harapan Malaysia (Tabung Harapan) bulan depan, kata Perdana Menteri.
Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, kerajaan masih belum membuat keputusan tarikh akhir Tabung Harapan tersebut tetapi besar kemungkinan ia bakal ditamatkan dalam masa terdekat.
“Kami belum membuat keputusan tarikh akhir Tabung Harapan tetapi mungkin pada bulan hadapan ia akan dihentikan,” katanya selepas menghadiri perbincangan meja bulat dengan Pemimpin Perniagaan Asean di sini, hari ini.
Penubuhan Tabung Harapan diumumkan Dr Mahathir pada 30 Mei lalu bagi membolehkan rakyat Malaysia menyalurkan sumbangan selepas mengetahui paras hutang kerajaan mencecah RM1 trilion.
Penubuhan tabung itu membolehkan kementerian berkenaan menguruskan sumbangan ikhlas rakyat dengan cara yang lebih sistematik lagi telus.
Dr Mahathir juga menafikan hasrat kerajaan menghentikan pengumpulan dana itu disebabkan beberapa syarikat menggunakannya sebagai mekanisme melobi kerajaan.
“Ia mungkin boleh terjadi tetapi kita tidak terjejas dengan perkara itu. Ada satu derma yang sangat besar dari sebuah syarikat yang mempunyai masalah, tetapi kita enggan menerimanya.
“Kerajaan perlu menghentikan pengumpulan dana daripada rakyat ini. Ia sebenarnya adalah cara untuk mengetahui sejauh mana rakyat sayangkan negara sehingga sanggup berkorban mengatasi masalah kewangan negara.
“Saya rasa agak jelas, rakyat yang mempunyai jumlah kewangan yang kecil sanggup membantu menyelamatkan negara,” katanya.
Sehingga ini, Tabung Harapan berjaya mengumpul dana sebanyak RM180 juta, derma daripada rakyat Malaysia termasuk syarikat tempatan.
Sementara itu, mengenai laporan kerajaan negeri Johor merancang membina laluan ketiga antara Malaysia dan Singapura bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Tambak Johor, Dr Mahathir hanya berkata ada beberapa perancangan dibuat.
Kerajaan negeri Johor berkata laluan ketiga akan menghubungkan kawasan Timur Johor (Pengerang) ke Pulau Ubin, Singapura.
Menteri Besarnya, Datuk Osman Sapian, berkata kerajaan negeri akan membuat cadangan untuk pembinaan laluan itu sebelum mengemukakannya kepada kerajaan persekutuan untuk kelulusan. – Berita Harian Online