KUCHING: Sarawak tidak memerlukan Jalan Utama Kedua kerana projek Lebuh Raya Pan Borneo dan Jalan Pesisir Pantaiyang sedang dibina adalah memadai ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How berkata kerajaan negeri perlu menyiapkan terlebih dahulu Jalan Pesisir Pantai sepanjang 896 kilometer, dari Sematan ke Miri, sebelum mengkaji dan melihat semula keperluan membina Jalan Utama Kedua.
Beliau berkata kira-kira RM11 bilion diperlukan bagi membina kedua-dua jalan berkenaan iaitu, RM3.5 hingga RM5 bilionuntuk Jalan Pesisir, dan Jalan Utama Kedua dianggarkan bernilai RM4 hingga RM6 bilion.
Menurutnya, Jalan Pesisir Pantai ketika ini hampir siap dengan tujuh lagi jambatan perlu dibina untuk melengkapkan laluan alternatif manakala bagi Jalan Utama Kedua, ia dijangka mula dibina tahun hadapan dan dijadualkan siap pada 2021.
“Kita tidak menafikan pembinaan semua jalan penting tetapi keutamaan mesti diberikan kepada yang benar-benar penting dengan masalah kewangan dihadapi negara ketika ini.
“Cadangan Jalan Utama Kedua ini dikatakan untuk menyediakan laluan alternatif yang lebih pendek ke jalan-jalan utama, Lebuh Raya Pan Borneo serta Jalan Pesisir Pantai,” katanya pada sidang media hari ini.
See yang juga Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak dan Pegawai Khas Menteri Kerja Raya (Baru Bian) di Sarawak, berkata keutamaan pembinaan jalan itu tidak hanya melihat kepada sumber tetapi keperluan aspek lain.
“Sekarang kerajaan tidak ada wang untuk membaik pulih atau membina sekolah usang di negeri ini, masih banyak kawasan dan sekolah khasnya di luar bandar tidak disambung dengan bekalan elektrik serta air bersih, maknanya banyak kemudahan asas masih belum diberikan kepada komuniti luar bandar.
“Jadi kenapa kita perlu membelanjakan wang yang begitu banyak untuk Jalan Utama Kedua ini sedangkan ada Jalan Pesisir Pantai dan Lebuh Raya Pan Borneo,” ujarnya.
Beliau juga berharap, agar projek cadangan Jalan Utama Kedua mula dibina selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak melengkapkan kerja-kerja kajian tanah kerana 80 peratus daripada pembinaan jalan itu adalah di kawasan paya gambut.
Menurutnya, hasil kajian ke atas tanah akan memberi gambaran lebih jelas kepada kontraktor dipilih mengenai pelbagai pakej kerja, dan bukannya memberikan penggunaan ‘kuantiti sementara’ kerana mereka diberi taklimat dan dinasihatkan untuk melakukan sekarang.
Beliau menambah Jalan Utama Kedua terdiri daripada tiga pakej dan menurut perancangan kerajaan negeri, kesemua pakej itu akan dilaksanakan. – Utusan Borneo Online