Tiga lelaki didakwa hina Nabi dan agama Islam 0 6480

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki didakwa atas 11 pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini berhubung kes menghina Nabi Muhammad SAW dan agama di media sosial baru-baru ini.

Penganggur, Mohamad Yazid Kong Abdullah, 52, mengaku bersalah manakala penjaja, Chow Mun Fan, 43, dan pekerja kedai serbaneka, Danny Antoni, 28, masing-masing mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Bagaimanapun, Hakim Hasbullah menetapkan 11 Mac untuk pendengaran fakta kes dan menjatuhkan hukuman terhadap Mohamad Yazid.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Yazid didakwa menghantar komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati melalui aplikasi Facebook dengan profil nama ‘Yazid Kong’, pada 8.21 malam, 24 Feb 2019.

Hantaran itu kemudian dibaca oleh seorang pengguna Facebook lain, laman profil ‘Mohamad Syafiq’ di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Jalan Taman Melati, Wangsa Maju, di sini, pada 12 tengah hari, 1 Mac lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Chow didakwa atas satu pertuduhan menggunakan aplikasi Twitter dengan akaun profil ‘Alvin@Alvin15358333’ telah membuat kenyataan yang mungkin mengapikan kaum Melayu dengan kaum bukan Melayu mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Chow turut didakwa atas tujuh lagi pertuduhan memuat naik hantaran yang berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni antara penganut Islam dan bukan Islam pada 2.29 petang dan 7.06 petang, 2 Mac 2019.

Kesemua hantaran itu seterusnya dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di sini, pada 8.30 malam, 3 Mac lalu.

Danny Antoni pula didakwa atas dua pertuduhan menggunakan laman profil ‘Danny A’antonio Jr’ dan memuat naik satu hantaran menghina Nabi Muhammad SAW, agama Islam dan Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni antara penganut Islam dan bukan Islam pada 1.21 pagi, 9 Januari lalu.

Hantaran itu kemudiannya dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di sini, pada 10 pagi, 4 Mac lalu.

Bagi kesemua kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Selain itu, mereka turut didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Jabatan Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Mohd Sophian Zakaria dan Timbalan Pendakw Raya Muhamad Asyraf Md Kamal manakala tertuduh Mohamad Yazid dan Chow diwakili peguam Muhammad Syafiq Salleh dan Danny tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Muhamad Asyraf berkata pihak pendakwaan membantah sebarang permohonan jaminan terhadap kesemua tertuduh atas alasan mereka menghina agama, nabi dan anggota keselamatan yang meninggal dunia semasa bertugas.

Hujahnya lagi, pihak pendakwaan komited untuk menyelesaikan kes dalam masa yang singkat kerana ia melibatkan kepentingan awam mengambil kira faktor hampir 1,000 laporan polis mengenai kes ini dibuat di seluruh negara.

“Keadaan ini boleh mengundang kemarahan dan sekiranya tidak dikawal dengan baik boleh menjejaskan keselamatan negara. Saya mohon tiada jaminan dibenarkan,” katanya.

Tegasnya, kesemua tertuduh perlu diasingkan sementara dari masyarakat dan akses internet kerana risiko adalah tinggi untuk mereka mengulangi kesalahan sama sekiranya jaminan dibenarkan.

Beliau turut memaklumkan, tertuduh Chow pernah didakwa sebanyak dua kali di Kuala Lumpur dan Muar, Johor melibatkan kesalahan sama berunsur penghinaan bagaimanapun dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) kerana tidak hadir ke mahkamah sehingga ada beberapa waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

Mohd Sophian pula berhujah bahawa tertuduh memuat naik hantaran itu secara terancang dan menggunakan perkataan jelik dan keras dengan tujuan ingin meletakkan nabi dan Islam pada tempat yang serendah-rendahnya.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 5 April depan untuk sebutan semula kes. – Bernama

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Wanita trauma dirogol, liwat dan dicederakan akibat hutang 0 13957

Wanita trauma dirogol, liwat dan dicederakan akibat hutang

JOHOR BAHRU: Seorang wanita trauma apabila dirogol, diliwat dan dicederakan temannya sendiri disyaki berikutan pertikaian mengenai hutang, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupeah Abd Wahid, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, mangsa dibawa ke rumah rakannya.

“Kejadian ini membabitkan seorang suspek lelaki dan dua suspek wanita yang juga rakan mangsa. – Berita Harian

Spread the news

Lebih 10 rumah dinaiki air 0 13121

Lebih 10 rumah dinaiki air

KUALA TERENGGANU: Fenomena air pasang besar selain hujan berterusan di sekitar daerah ini semalam menyebabkan lebih 10 rumah penduduk di Kampung Losong Haji Mohd, di sini dinaiki air, malam tadi.

Penduduk yang ditemui di kampung berkenaan memaklumkan air mula naik kira-kira jam 9.30 malam.

Tinjauan NSTP mendapati, beberapa rumah yang terletak berhampiran sungai dinaiki air sehingga paras paha. – Berita Harian

Spread the news