KUCHING: Parti Rakyat Bersatu (UPP) kinidikenali dengan nama baharu iaitu Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Setiausaha Agung PSB George Lo berkata, penukaran nama parti tersebut dipersetujui pada Persidangan Delegasi Luar Biasa (EDC) semalam.
Selain nama, delegasi turut sebulat suara bersetuju dengan logo baharu parti yang memperlihatkan matahari terbit dari tanah Sarawak.
“Penukaran nama dan logo parti ini adalah sebahagian daripada perlembagaan parti yang sebelum ini memperuntukkan nama parti adalah Parti Rakyat Bersatu (UPP).
“Tetapi selepas pindaan perlembagaan parti yang dipersetujui dalam EDC hari ini (semalam) parti kini dikenali sebagai Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan bukan lagi UPP,” katanya pada sidang media selesai EDC semalam.
Susulan persetujuan untuk menukar nama dan logo parti semalam, parti akan menghantar pendaftaran kepada JabatanPendaftar Pertubuhan (ROS) Isnin ini bagikelulusan.
“Meskipun penukaran nama dan logo parti masih belum diluluskan oleh ROS, tetapi dalam hati para ahli, kami adalah PSB dan tidak lagi UPP.
“Dari segi undang-undang, kami perlu menunggu kelulusan ROS, tetapi mulai kini kami mahu dikenali sebagai PSB,” ujarnya.
Terdahulu Presiden Dato Sri Wong Soon Koh ketika berucap pada perasmian EDC parti tersebut berkata, cadangan untuk mengubah nama dan logo parti telah disyorkan pada Persidangan Delegasi Tiga Tahun Sekali Kedua parti di Sibu pada 7 Julai 2018.
Bagi tujuan itu, satu pasukan petugas telah ditubuhkan untuk melihat cadangan penukaran nama dan logo parti dan mencadangkan diadakan EDC semalam bagi membincangkan dan memutuskan nama dan logo baharu parti.
“Sama ada UPP atau PSB, parti tidak akan mengubah ciri-ciri parti yang bersifat pelbagai kaum.
“Kami akan sentiasa menjadikan prinsipal pelbagai kaum sebagai kekuatan parti dan akan menolak komunalisme atau perkauman dalam sebarang bentuk.
“Kami tidak akan goyah dengan emosi dan dan bersikap lebih terbuka untuk menyatukan semua kaum dalam parti kami dan negeri Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu seperti yang digambarkan dalam logo baharu parti, di mana tanah Sarawak dengan matahari terbit, ia adalah simbol bahawa PSB adalah parti berasaskan Sarawak tulen.
Tiga warna yang digunakan (kuning, hitam dan merah) mewakili warna negeri Sarawak yang menggambarkan imej dan pandangan Sarawak yang pelbagai kaum. – Utusan Borneo Online