KUCHING: Seruan untuk menggalakkan 100 peratus parti pembangkang berasaskan Sarawak sekadar muslihat politik oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mengambil alih perhatian daripada masalah dan isu politik di negeri ini.
Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Chong Chieng Jen berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg pada Khamis lalu yang mencadangkan agar hanya parti 100 peratus berasaskan Sarawak dibenarkan bergerak di negeri ini.
Abang Johari berkata, sehubungan itu mungkin ia sesuatu yang mendesak dan perlu untuk menggalakkan penubuhan parti pembangkang baharu yang berasaskan Sarawak sepenuhnya serta tidak bersekutu dalam apa jua cara pun dengan parti politik bukan dari Sarawak untuk menyertai politik di negeri ini.
Menurut Chong yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, pandangan sedemikian sama dengan pandangan bahawa UMNO dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah untuk kawasan Melayu, MCA dan SUPP adalah untuk kaum Cina, MIC adalah untuk kaum India manakala PRS adalah untuk kaum Dayak.
“Sebenarnya, selama ini sehingga sekarang Sarawak diperintah oleh parti-parti yang 100 peratus dari Sarawak, namun Sarawak masih salah sebuah negeri yang paling mundur di Malaysia.
“Parti-parti ini telah membiarkan sumber minyak kita untuk diserahkan kepada kerajaa persekutuan pada 1974 dan ekpoitasi selama bertahun-tahun seterusnya. Parti-parti ini juga membiarkan sumber perkayuan kita yang kaya dimanipulasi oleh beberapa syarikat yang rapat dengan golongan pemerintah elit dalam parti-parti yang 100 peratus dari Sarawak ini,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan di sini, hari ini
Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menambah, parti-parti tersebut juga menyekat hak saksama bumiputera ke atas tanah sehingga menyebabkan tanah hak adat bumiputera (NCR) diubah menjadi tanah kerajaan.
“Ia seterusnya memaksa puluhan ribuan penduduk peribumi yang tidak senang hati untuk membawa banyak kes NCR ke mahkamah. Malah, parti-parti yang 100 peratus di Srawak juga jugaa membiarkan banyak tanah di negeri ini dijual pada harga rendah di pasaran kepada syarikat-syarikat kroni tanpa mempedulikan rakyat Sarawak,” katanya.
Menurutnya, parti-parti yang 100 peratus dari Sarawak juga bertanggungjawab bagi jurang kekayaan yang luas antara golongan kaya dan golongan miskin di negeri ini selepas mentadbir Sarawak selama 55 tahun.
“Justeru, isu dan masalah sebenar rakyat Sarawak adalah urus tadbir yang korup dan buruk oleh kerajaan negeri dan bukannya kedudukan geografi mana-mana parti politik.
“Abang Johari yang tiba-tiba berminat untuk mewujudkan pandangan tentang parti-parti yang 100 peratus dari sarawak malah disebutnya dalam ucapan penggulungan Belanjawan 2019 timbul daripada hakikat bahawa GPS sekarang bimbang mereka akan kehilangan kuasa di negeri ini.
“Maka itu beliau berharap parti-parti yang 100 peratus dari Sarawak ini dapat memecahbelahkan sokongan pembangkang untuk mencerahkan peluang GPS mencapai kemenangan,” katanya.
Chong menyeru kepada semua warga Sarawak untuk tidak terpengaruh dengan muslihat politik Abang Johari.
Tindakan Abang Johari yang bermain dengan sentimen wilayah, katanya, merupakan taktik sama yang dimainkan oleh UMNO dengan sentimen perkauaman Melayu atau PAS yang bermain sentimen keagamaan.
“Semua taktik sedemikian digunakan dengan motif utama untuk mengalih tumpuan rakyat daripada salah laku pengurusan kronisme dan isu rasuiah yang berlaku di negeri ini.
“Satu-satunya cara semua rakyat Sarawak dapat maju dan makmur bersama adalah dengan memiliki sebuah kerajaan yang bersih, telus dan adil,” kata Chong. – Utusan Borneo Online