KUCHING: Tindakan pantas sepasukan anggota polis daripada Balai Polis Bintawa dan pasukan kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya mencekup tiga penyamun pada Jumaat lepas ketika mereka sedang memecah masuk sebuah premis perniagaan.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, pihaknya mendapat maklumat awam berhubung satu kejadian pecah masuk sekitar jam 1.40 petang di premis bangunan milik Central World di Jalan Merbau, Pending.
“Setibanya pasukan ini di lokasi, mereka dapati seorang daripada suspek berada di dalam kereta Proton Iswara putih dan cuba melarikan diri.
“Namun suspek berjaya dicekup dan hasil pemeriksaan lanjut di premis itu, anggota terbabit berjaya mencekup dua suspek lain, yang berada di tingkat satu premis terbabit.
“Suspek yang ditahan adalah seorang lelaki Melayu berusia 25 tahun dari Kampung Tabuan Melayu, lelaki Melayu berusia 29 tahun dari Kampung Beliong, Asajaya dan lelaki Melayu berusia 35 tahun dari Lorong Foochaw di sini.
Jelasnya, antara peralatan yang dirampas termasuklah gunting pemotong besi, pemutar skru, playar, kuku kambing, alat pemotong wayar, empat keping bingkai pintu alumunium yang telah dibuka, dua gulung wayar elektrik yang telah dipotong dan empat wayar fius.
Kes katanya, masih dalam siasatan. — Sarawakvoice