Kehilangan seorang lelaki selama tujuh hari setelah mendaki Gunung Singai, Bau, Isnin lalu, akhirnya terjawab apabila dia ditemui selamat hari ini. Namun, terdapat pengalaman aneh yang berlaku sepanjang tempoh kehilangannya itu.
Menerusi satu portal berita, Stanley Kho, 22, memberitahu kepada anggota penyelamat bahawa dia dijaga dengan baik oleh seorang gadis sepanjang tempoh sesat di kawasan gunung berkenaan, yang cukup popular dalam kalangan pendaki.
Menurutnya, gadis berkenaan sangat cantik seperti puteri dan sempat menghulurkan sekuntum bunga kepadanya. Pada mulanya, dia terserempak dengan gadis itu ketika memulakan pendakiannya dan terus mengikutinya kerana terpegun dengan kecantikannya.
Mangsa memberitahu ada mendengar suara pasukan penyelamat dan penduduk kampung yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesannya.
Stanley ditemui selamat, jam 8.10 pagi. Namun, dia dalam keadaan lemah dan kebingungan.
Mangsa yang hanya berseluar pendek dan tidak berbaju, selain mengalami kecederaan pada kaki dan tangannya ditemui di kawasan curam di sebelah kanan kaki gunung berkenaan.
Operasi SAR yang dilancarkan sejak Isnin lalu membabitkan hampir 300 anggota pelbagai agensi penyelamat selain dibantu penduduk kampung dan persatuan pendaki.
Mangsa dilaporkan hilang selepas mendaki gunung itu bersendirian, pada jam 8 pagi Isnin lalu dan laporan mengenainya dibuat pada 4.35 petang hari sama.
Kehilangan Stanley disedari tiga rakannya yang menemui keretanya diletakkan di kaki gunung berkenaan.
Selasa lalu, mangsa menghantar kedudukan lokasinya disertai dengan video berdurasi empat saat, namun selepas dipadankan dengan peta sebenar, lokasi dihantar menerusi aplikasi WeChat itu tersasar di luar kawasan gunung berkenaan. – Siakap Keli