KUCHING: Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh, sejumlah 3.6 juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun ke atas masih belum mendaftar sebagai pemilih atau berada dalam kategori golongan putih (golput) setakat September 2017.
Sementara, di Kuching, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah mengesahkan daripada jumlah tersebut, sekitar 557,000 rakyat Sarawak belum mendaftar sebagai pengundi bagi tempoh itu.
Daftar Pemilih seluruh negara sehingga suku ketiga 2017 adalah seramai 14.8 juta orang termasuk sekitar 1.2 juta rakyat Sarawak sudah berdaftar sebagai pengundi.
Memetik Utusan Borneo pada Rabu, Mohd Hashim berkata dari segi demografi pemilih di Sarawak, berdasarkan Daftar Pemilih sehingga suku ketiga 2017, majoriti pemilih dalam lingkungan usia 40-49 tahun iaitu merangkumi lebih kurang 273,000 atau 22 peratus.
Ini diikuti kalangan pemilih berumur 30-39 tahun yang merangkumi 256,000 orang atau 21 peratus daripada jumlah keseluruhan pemilih berdaftar di Sarawak.
Sementara memetik Bernama, statistik Malaysia menunjukkan bagi tempoh pendaftaran pemilih suku keempat 2017, SPR menerima 212,042 pendaftaran pemilih baharu dan 72,998 permohonan untuk pertukaran alamat bahagian pilihan raya.
Menurut Datuk Abdul Ghani Salleh, Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bagi Suku Tahun 4/2017 akan dipamerkan 14 hari mulai hari ini sehingga 30 Januari ini di 961 tempat pameran di seluruh negara.
Menurut beliau, sepanjang tempoh pameran berlangsung, pemohon yang memohon mendaftar sebagai pemilih baharu atau menukar alamat bahagian pilihan raya pada Oktober, November dan Disember 2017 dinasihatkan menyemak DPT tersebut.
Pemohon juga boleh melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar My SPR Semak untuk menyemak senarai nama yang dipamerkan dalam Rang DPT suku keempat. — Sarawakvoice