SIBU: Tindakan seorang lelaki berusia 34 tahun yang menumbuk cermin tingkap dalam kejadian yang berlaku di Rumah Jabat, Batu 11 1/2, Jalan Mukah-Selangau dekat sini malam tadi, membawa padah apabila nyawanya melayang akibat kehilangan darah.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau berkata, mangsa dikenali sebagaiWat Lamit yang dalam keadaan mabuk, bertindak menumbuk cermin tingkap sehingga mengakibatkan kecederaan pada dirinya sekitar pukul 7.35 malam.
“Siasatan awal mendapati mangsa meminum minuman keras berikutan padamasa itu ada majlis keramaian.
“Mangsa dikatakan telah mabuk dan ikut serta menari bersama-sama dengan penduduk yang lain pada majlis itu,” katanya ketika dihubungi semalam.Menurutnya, terdapat perselisihan faham antara mangsa dengan seorang wanita, dipercayai sepupunya, yang dipercayai tinggal di bilik sebelah semasa kejadian.
Katanya, selepas itu mangsa bertindak masuk ke bilik wanita terbabit dan menumbuk cermin tingkap bilik tersebut dengan menggunakan tangan kanan sehingga pecah.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian lengan dan ketiak akibat terkena kaca,” ujarnya lagi.Jimmy memberitahu, mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Selangau dan disahkan meninggal dunia akibat kehilangan banyak darah.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Mukah untuk bedah siasat dan kes itu masih dalam siasatan. – Utusan Borneo Online