BINTULU: Dua individu termasuk seorang wanita ditangkap oleh orang awam apabila memecah masuk stor sebuah rumah di Jalan Tun Hussein Onn di sini, sekitar 2.30 pagi pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata lelaki berumur 25 tahun dan rakan wanitanya yang berumur 21 tahun, dikepung oleh jiran pemilik rumah berkenaan sebelum ditangkap.
“Pemilik rumah yang menyedari stor belakang rumahnya diceroboh, mendapatkan bantuan jiran dan mereka berjaya menahan dua suspek dalam stor tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, hari ini.
Menurut Zulkipli, stor rumah berkenaan dipercayai tempat menyimpan wayar dan kabel.
Sejurus berjaya ditangkap, kedua-dua suspek yang dipercayai warga asing diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
Turut dirampas adalah sebuah kereta dan sebuah motosikal milik kedua-dua suspek yang diletakkan di tepi jalan.
Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Bintulu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
Jika didapati bersalah, suspek bakal berhadapan dengan hukuman penjara sehingga tiga tahun, beserta denda sebanyak RM 5,000 atau kedua-duanya sekali. Utusan borneo Online