KUCHING: Sarawak akan kehilangan autonomi ke atas imigresen dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) jika Pakatan Harapan (PH) menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Fadillah Yusof berkata perkara pertama yang akan dilakukan oleh PH jika menguasai DUN Sarawak adalah menghapuskan dua perkara ini.
“Jangan sesekali anda (rakyat Sarawak) membiarkan PH masuk ke negeri ini. Mengapa? Sebab, bayangkan jika PH kuasai DUN, apa yang pertama sekali dihapuskan ialah imigresen dan OMO.
“Jika autonomi imigresen dihapuskan, orang luar akan memasuki negeri ini dengan sesuka hati dan kita akan kehilangan sumber jika OMO dihapuskan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penangguhan Seminar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak di sini hari ini.
Tambah Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, rakyat di Semenanjung Malaysia kini kesal kerana memberi undi kepada PH pada pilihan raya yang lepas namun nasi sudah menjadi bubur.
Justeru beliau mengingatkan rakyat Sarawak supaya tidak membuat kesilapan yang sama dan pastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus menguasai DUN Sarawak.
Pada seminar tersebut, Fadillah turut mengulangi ketegasan keputusan GPS untuk tidak mengundi pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada 9 April lepas di Dewan Rakyat.
GPS menyokong pindaan tersebut secara prinsip tetapi tidak bersetuju cara pindaan tersebut yang dibuat secara tergesa-gesa dan tidak memenuhi hasrat Sarawak.
Malah katanya GPS tidak kisah dipanggil sebagai pengkhianat atas keputusan mereka itu kerana bagi Fadillah, “pengkhianat ini lah yang memperjuangkan hak-hak Sarawak.” – Utusan Borneo Online