PUTRAJAYA: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraannya pada usia 37 tahun dengan menegaskan dia perlu mengutamakan kesihatannya.
Keputusan menggantung raket itu diumumkannya dalam sidang media khas di pejabat Kementerian Belia dan Sukan hari ini dengan dia juga dilihat mengalirkan air mata ketika berucap.
Jelas bekas pemain nombor satu dunia itu, ia adalah keputusan paling sukar pernah dibuatnya, namun selepas berfikir panjang termasuk mendapatkan pandangan isterinya Datin Wong Mew Choo.
“Saya ada ke Taiwan pada April lalu dan doktor yang merawat saya merasakan tidak sesuai lagi untuk saya meneruskan latihan dengan intensiti tinggi.
“Jadi selepas pulang saya mengambil masa selama sebulan untuk memikirkan mengenainya sebelum saya membuat keputusan untuk bertemu Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden BAM (Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria) bagi meminta pandangan mereka.
“Saya akhirnya membuat keputusan untuk menggantung raket selepas sambutan Aidilfitri tempoh hari, ia adalah keputusan berat untuk saya tetapi apa yang paling penting adalah isu kesihatan saya,” katanya.
Chong Wei ditemani Syed Saddiq, Norza dan juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong ketika menyampaikan pengumuman berkenaan.
Malah, Syed Saddiq juga dilihat beberapa kali menyeka Chong Wei yang kelihatan tidak dapat menahan sebak selepas menamatkan karier profesionalnya selama 19 tahun dalam sukan bulu tangkis.
Selain daripada menghimpun koleksi tiga pingat perak Sukan Olimpik (2008, 2012 dan 2016) dan tiga kali muncul sebagai naib juara dunia (2011, 2013 dan 2015), Chong Wei juga muncul sebagai satu-satunya pemenang terbanyak gelaran Super Series sebanyak 46 kali.
Terdahulu khabar angin mula bertiup kencang yang mengatakan pemain berusia 37 tahun itu akan mengumumkan persaraan.
Spekulasi semakin hangat apabila Chong Wei dikatakan sudah sebulan tidak menjalani latihan sejak mengambil cuti pada hujung April lalu bagi menjalani pemeriksaan susulan di Taiwan. – Berita Harian Online