KHCHING: Pakatan Harapan (PH) optimis mampu menawan Sarawak sekali gus membentuk kerajaan negeri baharu pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) yang dijangka diadakan selewatnya pada 2021.
Keyakinan itu disuarakan Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen yang berkata, ia berikutan kemenangan PH di enam kerusi Parlimen di kawasan majoriti Bumiputera di negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Peluang kita untuk menang pada PRN-12 adalah besar dan saya yakin kita mampu melakukannya.
“Pada PRU-14 kita telah menang di enam kerusi Bumiputera (kerusi Parlimen) yang mempunyai kira-kira 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ketika itu kita berjaya menawan kerusi ini meskipun Barisan Nasional (BN) mengerahkan semua jentera mereka di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Gawai Raya Parti Amanah Negara (Amanah) Sarawak di perkarangan tempat letak kereta Ibu Pejabat Amanah Negeri di Matang Jaya di sini Isnin malam.
Antara kerusi Parlimen di kawasan Bumiputera yang dimenangi PH pada PRU-14 lalu adalah, Mas Gading, Puncak Borneo, Saratok, Selangau dan Julau.
Tambah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu, ketika pemerintahan BN, semua agensi kerajaan memihak kepada satu pihak sahaja.
“Tapi sekarang kita boleh pastikan ada ketelusan dalam pilihan raya sebab itu kita yakin mampu menang pada pilihan raya akan datang,” tegasnya.
Justeru, Chong menyeru kepada semua jentera PH supaya bekerjasama dengan lebih teguh untuk memenangi PRU-14 dan lebih penting kerajaan negeri dapat ditukar agar kerjasama dengan kerajaan persekutuan dapat dicapai.
“Ini adalah untuk kepentingan rakyat kalau kita ada satu kerajaan negeri yang selalunya bertentangan dengan kerajaan persekutuan yang menjadi mangsa adalah rakyat.
“Jadi, biarlah kita bertungkus lumus dengan sedaya upaya untuk menawankan Sarawak pada PRN-12 nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu, Chong tetap mengulangi pendiriannya berhubung kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang mendakwa Sarawak akan bankrap jika terus di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Jelasnya, apa yang dikatakan Lim adalah jika GPS berterusan membelanjakan dana negeri untuk projek mega seperti sistem transit aliran ringan (LRT), syarikat penerbangan Sarawak, Jalan Pesisir, Jalan Utama Kedua, menara telekomunikasi dan sebagainya, Sarawak akan bankrap dalam tempoh tiga tahun.
Terdahulu, Pengerusi Amanah Sarawak Mohd Fidzuan Zaidi dalam ucapannya turut melahirkan rasa keyakinan PH mampu menawan Sarawak pada PRN-12.
Malah, tegasnya, Amanah yang kekal bertanding di 13 kerusi DUN atau mungkin lebih daripada itu dijangka mampu menawan sekurang-kurangnya separuh dari jumlah kerusi tersebut. – Utusan Borneo Online