KUCHING: Sukan Sarawak (SukSar) masih relevan sebagai platform persiapan Sarawak untuk menghadapi temasya Sukan Malaysia atau SUKMA.
Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada Sukma 2018 di Perak, seramai 132 atlet yang mewakili Sarawak dicungkil dari SukSar 2017.
“Dari jumlah itu, seramai 14 daripada mereka berjaya memenangi pingat.
“Ia platform yang bagus walaupun kita terpaksa mengeluar sedikit belanja untuk menganjurkannya. Kita tidak silap dalam usaha ini,” katanya semasa Majlis Pelancaran Sukan Sarawak II 2019 Dan Pelancaran Logo di Stadium Negeri, Petra Jaya hari ini.
Menurut Abdul Karim, dijangka 1,500 atlet termasuk pegawai akan berkampung di Miri untuk menyertai SukSar II dijadual berlangsung dari 9-14 Disember 2019.
Katanya, seperti SukSar I, edisi kali ini akan membabitkan penyertaan pasukan dari empat zon iaitu Zon Utara (Miri, Limbang, Bintulu), Zon Tengah (Sibu, Mukah, Kapit), Zon Barat (Sarikei, Betong, Sri Aman) dan Zon Selatan (Kuching, Serian, Samarahan).
“SukSar II akan mempertandingkan 16 acara sukan iaitu olahraga, memanah, renang, badminton, berbasikal, bola keranjang, bola tampar, hoki, petanque, rugbi, sepak takraw, silat, skuasy, tinju, angkat berat dan sukan elektronik.
“Venue-venue yang terlibat antaranya Stadium Miri (olahraga), Kolam Renang Miri (renang), pusat beli belah Imperial Mall (angkat berat), Stadium Miri/Coco Cabana (berbasikal), Dewan Badminton Tung Sports (badminton), SMK Pei Hin (bola keranjang), Stadium Tertutup Miri (bola tampar & sepak takraw), Kelab Rekreasi Petroliam Miri (hoki), IPG Kampus Miri (memanah), Padang PETRONAS Field (petanque), Universiti Curtin (rugbi), Giant Permy Mall (silat), Gelanggang Skuasy Pei Min (skuasy), Permaisuri Mall (tinju) dan Eternity Esports Arena, Miri (sukan elektronik).
“Kerajaan negeri dijangka membelanjakan sekitar RM4 juta untuk menganjurkan SukSar kali ini,” katanya lagi.
Menurut Abdul Karim, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan pembukaan kejohanan pada 8 Disember.
Untuk rekod, Zon Utara diwakili Miri, Limbang dan Bintulu muncul johan temasya SukSar I.
Hadir sama, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Hii Chang Kee dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Dr Ong Kong Swee dan Pengarah Urusan Lea Holdings Sdn Bhd Raymond Sim Hee Pang – Utusan Borneo Online