Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu setidak-tidaknya bersikap realistik.
Ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Biro Pilihan Raya Amanah Sarawak di Kuching pada Ahad, beliau yang lebih mesra dipanggil Mat Sabu, menyedari hakikat bahawa tidak mudah untuk parti pimpinannya bertapak di Sarawak, apatah lagi merobohkan benteng GPS dalam pilihan raya negeri akan datang.
Amanah telah bertanding di Sarawak dua kali, tetapi segala percubaannya gagal. Mengapakah parti itu ditolak oleh pengundi dan rakyat Sarawak?
Adakah kerana rakyat mempunyai persepsi bahawa parti itu serpihan PAS. PAS yang juga telah bertanding banyak kali di negeri ini, banyak kali juga kecundang dan kecewa. PAS punya imej negatif, justeru tidak begitu mesra di hati rakyat dan pengundi.
Kedudukan Amanah juga dua kali lima.
Mat Sabu dalam ucapannya mengakui Amanah menghadapi tugasan berat untuk mengubah persepsi masyarakat di sini. Betul, persepsi amat penting dalam politik. Itulah sebabnya, parti politik begitu bersungguh-sungguh untuk membina dan menjaga persepsi.
Hakikatnya, dalam politik, persepsi lebih nyata daripada realiti. Membina persepsi supaya imej dan reputasi parti positif dan ditanggapi dengan baik oleh rakyat, menuntut strategi komunikasi dan pemasaran politik yang ampuh.
Sebab, persepsi positif akan banyak menjulang imej dan reputasinya, sedangkan jika negatif sukar dikikiskan, malah berpotensi membawa kemudaratan. Termasuk tentunya disingkir pengundi. Parti yang dipersepsi baik oleh rakyat dapat membantu mengukuhkan penerimaan rakyat sekali gus melonjakkan kedudukannya.
Mengapakah Barisan Nasional (BN) ditolak oleh rakyat dalam PRU-14? Sebabnya, persepsi rakyat terhadap pemimpinnya, terutamanya Datuk Seri Najib Razak amat negatif dan buruk terutama berkaitan 1MDB. Persepsi sedemikianlah yang mengundang kemudaratan kepada BN sehingga mampu ditewaskan oleh Pakatan Harapan.
“Selagi kita tidak dapat pecahkan minda ini, rakyat Sarawak pasti akan kurang memberi undi kepada parti Amanah.
“Misalnya, Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, di Parlimen Kota Raja majoriti sehingga 71,000, itu bukan kerana calon ataupun jentera yang hebat tetapi persepsi masyarakat berjaya diubah untuk menolak lawan kita.
“Persepsi perlu diubah supaya ia memihak kepada kita,” katanya yang juga Menteri Pertahanan Malaysia.
“Tugas besar buat kita untuk memecahkan persepsi itu, bahawa kita sebenarnya ialah parti nasional yang mewakili semua di peringkat nasional dan negeri,” jelas Mat Sabu seperti dilapor Bernama.
Kata beliau, parti itu dianggap sebagai parti Semenanjung.
Memang benar Amanah parti Semenanjung, tetapi kenapa PKR dan DAP yang juga parti yang berpangkalan di Malaya dapat diterima oleh pengundi dan rakyat di sini?
Berlainan daripada kedua-dua parti itu, Amanah adalah relatif baharu. Sebagai parti baharu Amanah perlu bekerja lebih kuat untuk bertapak supaya lebih mudah diterima rakyat.
DAP sudah bertapak di Sarawak sejak akhir 70-an, manakala PKR mulai bertapak pada 1999 ketika Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Itulah bezanya antara DAP dan PKR dengan Amanah. Aspek ini seharusnya disedari juga oleh Mat Sabu.
Untuk mendapat keyakinan daripada rakyat dan pengundi bukan mudah dan dapat dilakukan dalam waktu yang singkat.
PKR dan DAP mengambil masa yang panjang sebelum pengundi memberi sokongan. Pelbagai cabaran, masalah dan kekangan dihadapi mereka sebagai parti pembangkang ketika itu.
Dengan sentimen nasionalisme negeri yang membara ketika ini dan naratif politik tentang
Sarawak untuk Sarawak dan hanya orang Sarawak yang dapat memimpin dan berjuang untuk rakyat Sarawak, kedudukan Amanah memang terhimpit.
Apatah lagi, ia kini tidak mempunyai pemimpin peringkat negeri yang kuat dan berpengaruh. Tiada nama besar dalam Amanah Sarawak.
Hakikat bahawa Amanah juga berdepan segunung cabaran adalah kerana parti itu bertanding di kerusi PBB — parti tulang belakang GPS.
Pada PRN Sarawak ke-11, Amanah bertanding di Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Gedong, Sebuyau, Beting Maro, Kabong, Kuala Rajang, Semop, Daro, dan Jemoreng.
Ini kawasan majoriti Melayu dan Melanau. Sesungguhnya, sukar bagi Amanah untuk menumbangkan calon PBB kecuali jika calon PBB berkenaan begitu teruk dan tidak lagi disenangi rakyat. Kalau tidak, Amanah hanya dapat memasang impian untuk memenangi kerusi terbabit.
Mat Sabu juga dipetik berkata, dalam menghadapi mana-mana pilihan raya, pertamanya ialah jentera dan kedua membentuk persepsi masyarakat apabila menjelang pilihan raya.
Adakah jentera akar umbi Amanah sudah cukup baik dan dapat menyaingi jentera PBB? Kalau tidak, bagaimana mungkin ia dapat muncul juara? Seperti kata Presiden Amanah, itulah yang perlu dibina partinya.
Amanah sebagai parti komponen Pakatan Harapan, tentu tidak lagi sama kedudukan dan keadaannya ketika menjadi pembangkang sebelum PRU-14 lalu. Kini, tentu lebih mudah baginya menggerakkan jentera akar umbi.
Yang penting, bagi membolehkannya menang dalam pilihan raya nanti, Amanah perlu menampilkan calon terbaik dengan strategi terbaik. Dengan semangat dan azam baharu, tentu Amanah juga mahu calonnya menang. – SarawakVoice