BINTULU: Sebuah vesel nelayan tempatan kelas C bersama tiga kru warga asing ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu kerana disyaki cuba menyeludup minyak diesel di lokasi 1.7 batu nautika dari muara Batang Kemena di perairan Bintulu hari ini.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, tiga kru yang ditahan oleh bot peronda APMM yang sedang melaksanakan tugas rondaan di lokasi terbabit sekitar pukul 6 pagi itu adalah warganegara India.
Katanya, vesel yang ditahan didapati membawa muatan minyak dipercayai diesel dianggarkan lebih 10,000 liter yang cuba untuk diseludup.
“Vesel itu juga disyaki telah melanggar syarat sah lesen yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan membawa muatan minyak tanpa kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” ujarnya dalam sidang media di Pangkalan Jeti Polis Marin Kampung Jepak di sini hari ini.
Jelasnya, vesel dan kru tersebut akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Kawalan Bekalan 1961. – Utusan Borneo Online