BETONG: Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah pacuan empat roda dan motosikal berhampiran kawasan Jalan Tanjung Assam-Balingan dekat sini, tengah hari tadi mengakibatkan seorang pesara polis menemui ajal di tempat kejadian.
Mangsa, Nor Nusi berusia 60 tahun dikatakan menunggang motosikal dan bergerak keluar dari simpang rumah untuk memasuki laluan utama, namun dipercayai telah dilanggar.
Ketua Polis Daerah (KPD) Betong Deputi Superintendan Mohd Fahdil Antum Abdullah yang mengesahkan perkara itu memberitahu, kemalangan jalan raya berlaku kira-kira 1:30 petang.
Katanya, mangsa dilanggar oleh sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Prado yang dipandu oleh seorang kontraktor.
“Pemandu berkenaan bagaimanapun cuba mengelak tetapi tidak sempat memberhentikan kenderaannya ekoran jarak yang terlampau dekat sehingga menyebabkannya terbabas ke dalam parit di sebelah kanan bersama penunggang motosikal terbabit,” katanya kepada pemberita.
Menurut Fahdil, perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara, pemandu Prado yang berusia 31 tahun itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.
Semasa kejadian hujan renyai-renyai berlaku dan permukaan jalan raya agak basah serta licin.
Polis menyiasat lanjut kes tersebut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Jiwa Bakti