SIBU – Pemilihan PKR Cabang Lanang di sini didakwa dicemari politik wang didalangi individu atau kumpulan tertentu bagi pihak berkepentingan semalam.
Wakil bagi calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, Shatiri Mansor berkata, dia bersama lima lagi wakil mendakwan ternampak perbuatan mencurigakan itu.
Menurutnya, mereka melihat kumpulan calon Ketua Cabang Lanang membawa sekumpulan orang masuk ke dalam klinik yang berada di bawah tempat mengundi dan selepas 10 minit mereka keluar untuk mengundi pada pukul 8.40 pagi.
“Kami merasakan mereka mungkin bagi keselesaan pengundi namun sekitar pukul 11 pagi didapati setiap kali pengundi turun, mereka akan dipanggil dan masuk ke klinik berkenaan.
“Tidak lama dalam sekitar 10 saat pengundi akan keluar membuatkan kami mengambil gambar perbuatan itu,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Lanang di sini semalam.
Pemilihan PKR Cabang Lanang menyaksikan calon Timbalan Presiden, Mohamed Azmin mendapat 187 undi manakala Rafizi tujuh undi.
Bagaimanapun katanya, perbuatan mengambil gambar itu seperti diketahui dan mereka menghentikan kegiatan politik wang berkenaan.
“Tidak berapa lama, kami dapati mereka bertukar lokasi di restoran bersebelahan klinik itu kira-kira pukul 11 pagi.
“Kami berjaya merakam video kegiatan itu namun disedari menyebabkan mereka lebih berhati-hati dan menghentikan sehingga waktu pengundian tamat semalam,” jelasnya.
Menurutnya, mereka telah membuat laporan di Balai Polis Lanang pada sekitar pukul 10 pagi tadi.
Jelasnya, mereka bersedia membantu siasatan jika diperlukan demi menjaga integriti parti yang menentang politik wang. – K! ONLINE