Mohd Hazim Mohd Rahimi – salah seorang anggota bomba yang bertugas ketika rusuhan awal pagi Selasa – berkata mereka diserang sebaik tiba di kawasan kuil.
“Begitu kelam kabut dan panik,” kata seorang anggota bomba menceritakan pengalamannya ketika bertugas di tengah-tengah rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, awal pagi Selasa lalu.
Salah seorang daripada lapan anggota yang ditugaskan, Mohd Hazim Mohd Rahimi berkata pasukannya memang telah diserang perusuh.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, tugas saya untuk turun daripada jentera dan terus ke tempat simpanan salur bantu mula (hose reel). Jika kebakaran di sebelah kiri, saya akan tuju tempat simpanan di sebelah kiri untuk memadam api.
“Tapi belum sempat keluar, kami sudah diserang. Saya terus lari dan masuk ke dalam jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di belakang jentera Fire Rescue Tender (FRT),” katanya dalam sidang media di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, hari ini.
Namun, katanya lagi, pintu jentera EMRS itu turut diserang sehingga tercabut, dan kini menjadi sebahagian bahan bukti polis.
Dalam sidang media itu, Ketua Pengarah Bomba Mohamad Hamdan Wahid menampilkan Hazim, 31, sebagai individu yang dilanggar belakang jentera bomba seperti yang dipaparkan video yang tular hari ini. – Malaysiakini