SIBU: Seorang wanita warga Indonesia ditangkap dalam satu operasi Ops Noda di Bilik Tingkat 1, sebuah hotel di Jalan Pulau kerana dipercayai menjalankan aktiviti persundalan di sini malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Martin Koo berkata, wanitaberumur 45 tahun tersebut ditahan oleh pasukan D7 dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) diketuai oleh InspHairul Hussin pada pukul 10.45 malam itu.
“Wanita yang berasal dari Bandung, Indonesia itu ditahan semasa sedang melayan seorang pelanggan lelaki di dalam bilik hotel berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata , polis kemudian bertindak menahan lelaki berumur 36 tahun yang berasal dari Sungai Bawan, Kanowit sebagai saksi kes.
Polis juga menjumpai bekas kondom di atas lantai dan merampas wang tunai berjumlah RM80 dipercayai hasil aktiviti tidak bermoral yang diperolehi oleh wanita itu.
Siasatan polis katanya mendapati wanita itu gagal menunjukkan dokumen peribadi atau pasport.
Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).”Wanita asing tersebut dimasukkan ke dalam lokap untuk tindakan lanjutnya,” tambah Martin. – Utusan Borneo Online