Kuching: Seorang lelaki 64 tahun yang dijangkiti rabies meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak pukul 6.43 pagi tadi.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat Encephalitis Rabies, sekali gus menjadikan jumlah kematian disebabkan rabies dalam kalangan manusia meningkat kepada 15 kes.
Dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu mangsa berusia 64 tahun itu digigit pada pertengahan September lepas.
Mangsa bagaimanapun hanya mencuci luka gigitan tersebut dan tidak mendapatkan sebarang rawatan di fasiliti kesihatan sehingga 27 November dia dibawa ke sebuah klinik swasta apabila mengalami sakit lutut serta lemah anggota badan.
Pada 2 Disember, mangsa telah mendapatkan rawatan di HUS selepas keadaannya semakin teruk dan dia dimasukkan ke wad penyakit berjangkit. – Utusan Borneo Online