POLIS Perancis mengesahkan pemain baharu Cardiff City, Emiliano Sala berada dalam pesawat yang hilang di Selat Inggeris pada Isnin.
Pesawat itu hilang dari radar ketika dalam penerbangan dari Perancis ke Cardiff.
Sala baru menandatangani kontrak minggu ini bersama kelab Wales itu dengan nilai 17 juta euro.
Sehingga kini, Cardiff City sedang mendapatkan pengesahan mengenai Sala yang berada dalam pesawat yang hilang itu.
Menguatkan lagi andaian pemain berusia 28 tahun itu berada dalam pesawat tersebut ialah apabila dia tidak membalas mesej peminat di media sosial.
Dalam posting terakhirnya di Twitter, Sala berkongsi gambar dengan rakan sepasukannya di Nantes dengan mengucapkan selamat tinggal
Pengawal pantai British mengeluarkan kenyataan sedang membantu pengawal pantai Guernsey untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat yang hilang berdekatan Alderney di Kepulauan Channel.
Polis Guernsey memberitahu pesawat dari Nantes di barat Perancis itu sedang dalam penerbangan ke Cardiff membawa dua penumpang.
Bot penyelamat dan dua helikopter digunakan dalam operasi SAR pada 8:50 malam Isnin waktu tempatan, selepas menerima laporan pada 8.23 malam. – Astro Awani