SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin Pakatan Harapan akan dapat menawan Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata ahli PKR perlu bekerja dengan lebih kuat dan berkhidmat kepada rakyat.
“Kita angkat martabatkan cabang dan semua peringkat, kita jaga rakyat dan santuni mereka seolah kita nak hadapi pilihan raya sekarang.
“Ayuh kita berkampung di Sarawak kalau boleh menang di Johor dan Melaka saya yakin kita boleh menang di Sarawak,” katanya dalam ucapan penggulungan di Kongres Nasional ke 13.
Azmin berkata usaha menjaga kebajikan rakyat terutama Sabah dan Sarawak tidak pernah dipinggirkan dan ini dibuktikan dengan pembentangan Rancangan Malaysia ke 11 (RMK11).
“Dalam RMK11 kita bersetuju enam negeri akan diberi keutamaan, tidak kira negeri pembangkang atau kerajaan. Pakatan Harapan sebagai kerajaan bertanggungjawab memang nak jaga rakyat kita bukan nak berpolitik.
“Dan dalam Belanjawan 2019 kita setuju Sabah dan Sarawak diberi peruntukan lebih besar daripada apa yang mereka perolehi pada zaman Barisan Nasional,” katanya. – Astro Awani