PEMILIHAN PKR | Calon timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali telah mengumumkan kemenangannya dalam pemilihan parti kali ini walaupun berhadapan cabaran sengit pesaingnya Rafizi Ramli..
Dalam suatu kenyataan yang ditandatangani beliau sebagai timbalan presiden PKR bagi penggal 2018 ke 2021, Azmin mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya kerana meneruskan “agenda sebenar reformasi.”
Sementara itu, Rafizi yang juga bekas MP Pandan pula masih lagi tidak berputus asa berharap akan menang pertandingan kali ini.
Menurut keputusan tidak rasmi yang diselaraskan Malaysiakini, Azmin kini memiliki 67,449 undi berbanding Rafizi yang mendapat 62,716 undi, dengan majoriti 4,733 undi.
Azmin meraih kemenangan besar pada separuh kedua pemilihan di Sarawak dan pemilihan semula untuk beberapa bahagian di Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka.
Walau bagaimanapun, masih terdapat beribu-ribu “undi ragu” yang masih belum ditambah pada pengiraan. Kategori pemilih ini merujuk kepada mereka yang layak untuk mengundi dan tidak dapat memastikan saluran undinya, tetapi dibenarkan mengundi.
Ibu pejabat PKR akan berhadapan tugas sukar untuk mengesahkan “undi ragu” sebelum Jumaat ini, iaitu hari permulaan kongres perwakilan nasional tahunan PKR selama tiga hari.
Tak pasti Julau, Tawau ada pemilihan semula
Sesuatu yang tidak dapat dipastikan lagi sekarang jika cabang PKR di Julau dan Tawau akan mengadakan pemilihan semula.
Pemilihan PKR Cabang Julau semalam terhalang oleh hujan lebat, yang membatasi kehadiran pengundi serta terdapat tuduhan serangan perisian hasad pada komputer yang digunakan untuk sistem e-undi, menyebabkan pemilihan di sana digantung pada sekitar jam 2 petang.
Sementara itu, di Tawau, terdapat dakwaan gangguan komputer membolehkan pemilih untuk mengundi beberapa kali.
Bagaimanapun, beberapa sumber parti memberitahu Malaysiakini sistem e-undi itu hanya akan menerima pengundian pertama, tanpa mengira berapa kali seseorang itu mengundi.
Rafizi kata boleh menang lagi
Dalam pada itu, Rafizi pula berjaya menang besar di cabang Pensiangan, antara cabang PKR yang mengadakan pemilihan semula.
Menurut kiraan tidak rasmi, Rafizi mengaut 2,388 undi dan Azmin cuma memperolehi 262 votes.
Cabang Pensiangan seperti di Julai menyaksikan peningkatan besar keanggotaan sebelum tarikh akhir pendaftaran kelayakan menjadi pengundi pemilihan pada 26 Jun lalu. Ahli yang didaftarkan selepas tarikh itu tidak dibenarkan mengundi.
Selepas pengundian ditutup, Rafizi memberitahu para penyokongnya di Pensiangan bahawa sebaik sahaja keputusan dikira sepenuhnya dalam satu atau dua hari ini, beliau akan menang.
Biro politik PKR dijangka bermesyuarat pada hari Selasa untuk memutuskan kemungkinan pemilihan semula dan proses pengesahan bagi “undi ragu”.
Beberapa sumber parti percaya kemungkinan pemilihan semula akan dibuat di cabang Julau pada Rabu (14 November).
Pada masa penulisan, keputusan tidak rasmi yang dilaporkan Malaysiakini belum memasukkan keputusan untuk lima cabang yang belum dikeluarkan – Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya, Kota Melaka, Jasin dan Labuan – dan cabang Julau yang digantung.
Pemilihan PKR bermula pada 22 September lalu. – Malaysiakini