- KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak bakal memperkenalkan bantuan kewangan untuk bayi yang baharu lahir di negeri, bermula tahun depan.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Tun Openg berkata inisiatif baharu untuk anakSarawak itu akan diumumkannya pada 5 November nanti, bersempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Saya sudah berbincang dengan Kabinet negeri untuk mencari yang terbaik diberikan kepada rakyat dan kami akan tampil dengan bantuan ini.
“Maknanya, apabila lahir sahaja bayi itu akan terus mendapat bantuan ini dan jumlahnya akan saya umumkan nanti,” katanya pada sesi Townhall #TanyakAbgJo sempena Lan Berambeh Anak Sarawak di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, duit yang dimasukkan ke dalam akaun bayi itu juga tidak boleh dikeluarkan oleh ibu bapa.
Dengan itu, katanya ia akan terkumpul dengan faedah dan hanya boleh digunakan oleh anak tersebut apabila berusia 18 tahun, misalnya untuk melanjutkan pelajaran.
Katanya, kerajaan negeri kini sedang mendapatkan data daripada Jabatan Kesihatan Negeri mengenai jumlah kelahiran bayi di Sarawak bagi tempoh setahun, yang dianggarkan lebih kurang 40,000 bayi.-Utusan Borneo Online