SRI AMAN: Menteri Kerja Raya Baru Bian (gambar fail) mahu kontraktor yang terlibat dalam pembinaan hospital baharuSri Aman memastikan projek itu disiapkan mengikut tarikh yang ditetapkan pada Ogos tahun depan.
Beliau berkata projek bernilai RM176 juta yang kini hanya 44 peratus siap berbanding 60 peratus yang dijadualkan, dikategorikan sebagai ‘projek sakit’.
“Punca kelewatan adalah disebabkan oleh kekurangan pekerja mahir dan pasukan kontraktor yang lemah dalam pengurusan projek itu.”Jabatan Kerja Raya akan memantau secara rapi perkembangan projek ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat mengenai pembangunan tapak projek hospital baharu Sri Aman, di sini hari ini.
Projek hospital berkapasiti 108 katil itu diluluskan bawah Rancangan Malaysia ke-10 dalam usaha meningkatkan taraf kesihatan penduduk di sekitar Sri Aman yang dianggar berjumlah 93,379 orang.
“Saya dimaklumkan hospital sedia ada tidak berkeupayaan untuk menampung keperluan pengguna pada masa kini,” kata Baru.
Hospital baharu itu adalah untuk menggantikan fasiliti sedia ada yang dibina pada 1954 dan juga bakal memberi manfaat kepada pengguna dari daerah seperti Lubok Antu, Betong dan Simunjan. – Bernama