Bawa masuk 30,000 pekerja Kemboja ke Sarawak
SERIAN: Sekurang-kurangnya 30,000 pekerja asing dari Kemboja sedang diusahakan dibawa masuk ke Sarawak, untuk ditempatkan dalam sektor perladangan kelapa sawit.Menteri Sumber Manusia, Dato Sri Richard Riot Jaem (gambar) berkata ia bagi mengatasi kekurangan buruh yang kritikal dalam industri perladangan kelapa sawit di negeri ini, terutamanya bagi penuaian buah tandan segar kelapa sawit.
“Saya akan pergi ke Kemboja untuk kali ketiga pada pertengahan bulan ini untuk membincangkan perkara ini.”Kita sangat memerlukan pekerja asing dari Kemboja untuk mengisi keperluan buruh di ladang kelapa sawit di Sarawak kerana kalau tidak, kerajaan negeri khususnya akan mengalami kerugian dari segi hasil buah tandan segar kelapa sawit yang mencecah RM2 bilion setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Bicara Ilmu, Lestari Modal Insan Koperasi bertemakan Peluang dan Cabaran Tanaman Kelapa Sawit di Dewan Masyarakat Serian, di sini hari ini.Menurut Riot, industri perladangan kelapa sawit di Sarawak selama ini adalah bergantung tenagaburuh daripada Indonesia.Bagaimanapun, katanya tenaga buruh tersebut sekarang telah berkurangan dengan ketara disebabkan oleh pembukaan ladang kelapa sawit yang meluas di Indonesia.
Jelas beliau, ia telah menarik ramai pekerja Indonesia di Sarawak pulang untuk bekerja dalam sektor berkenaan di negara mereka sendiri atas faktor upah yang setaraf malah lebihtinggi daripada yang ditawarkan di Malaysia. – Utusan Borneo