ADEGAN panas selepas perlawanan membabitkan Khabib Nurmagomedov dan Conor McGregor dalam pertarungan seni bela diri campuran, Ultimate Fighting Championship (UFC 229) membuatkan presidennya, Dana White berang.
White meluahkan kekesalan di atas tindakan Khabib melompat keluar dari gelanggang dan meluru ke arah kem McGregor selepas memenangi pertarungan Lightweight di Las Vegas kelmarin.
White berkata, tindakan itu menyebabkan Khabib dan kemnya berdepan masalah besar, yang mana petinju kelahiran Dagestan itu mungkin didenda atau digantung selain berkemungkinan dilucutkan gelaran Lightweight yang disandangnya.
“Kita menunggu keputusan daripada Suruhanjaya Olahraga Nevada dan menentukannya (hukuman) dari situ. Yang pasti, mereka (semua yang terlibat) kini dalam masalah besar.
“Tindakan itu sangat memalukan. Apa yang mereka lakukan tidak ubah seperti pergaduhan jalanan dan itu bukannya sukan,” katanya.
Oleh sebab itu, wang AS$2 juta (RM8.296 juta) yang sepatutnya dimenangi Khabib dibekukan sementara dan pada masa sama White turut memuji tindakan anak emasnya, McGregor yang enggan meneruskan laporan polis kepada Khabib dan rakan-rakannya.
Susulan itu, Khabib tampil membuka mulut dan menjelaskan punca beliau bertindak sedemikian selepas perlawanan itu.
“Terlebih dahulu, saya ingin meminta maaf kerana tindakan tersebut. Saya tahu ini bukan sisi-sisi terbaik saya kerana saya hanya manusia biasa.
“Sejujurnya, saya tidak faham kenapa ramai mempersoalkan tindakan saya keluar dari gelanggang dan bertindak sedemikian sedangkan semua tahu bahawa McGregor bersikap lebih keterlaluan apabila menghina agama, negara dan bapa saya.
“McGregor juga bersikap biadap apabila menyerang bas yang saya naiki di Brooklyn dan hampir membunuh beberapa orang. Bagaimana dengan tindakan itu? Kenapa orang hanya bercakap mengenai saya terjun dari gelanggang?,” soalnya. – Sinar Harian