LONDON: Bekas pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand lebih gembira melihat seteru setempat, Manchester City menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini berbanding Liverpool.
Liverpool ketika ini menghuni carta teratas liga dengan kelebihan dua mata tetapi bermain lebih satu perlawanan berbanding City dengan baki saingan musim 2018-19 berbaki kurang dua bulan.
Selepas kali terakhir menjulang gelaran elit domestik itu 29 tahun lalu, Liverpool jelas bersemangat tetapi persembahan kurang konsisten pada tahun ini menyaksikan skuad Jurgen Klopp mensia-siakan kelebihan tujuh mata di puncak.
Dengan persaingan merebut kejuaraan musim ini dijangka cukup mendebarkan, Ferdinand akhirnya akur betapa dia lebih gemar melihat City memenangi trofi berkenaan menewaskan Reds yang dilabel seteru utama United.
“Ini adalah senario paling buruk untuk sesiapa yang menyokong, meminati dan pernah bermain untuk Man United, dan saya sebagai pengulas perlu bercakap mengenainya secara terbuka,” kata Ferdinand. “Jadi apa yang lebih baik daripada kedua-duanya ialah Man City memenangi liga.”
Liverpool akan menempuh jadual sukar menentang Tottenham, Chelsea dan Wolves dalam saingan liga selain Liga Juara-Juara selepas ini dengan City yang berjuang merebut empat kejuaraan mempunyai lebihan bebanan apabila turut bersaingan dalam kempen Piala FA.
“Ada peminat yang saya langsung tidak tahu dia menyokong Liverpool keluar daripada ‘tempat persembunyian’ selepas 20 tahun tidak bersuara dan mula bercakap sekali pun mereka belum memenangi apapun. Jadi lebih menyakitkan untuk melihat mereka memenangi liga,” kata Ferdinand.
“Tetapi akhirnya, pasukan yang paling baik akan menang selain sesiapa yang melakukannya dengan lebih baik.” – AGENSI