Tujuh daripada sepuluh orang yang menyewa atau mempunyai rumah tidak tahu cara jimat bil elektrik rumah mereka. Benarkah?
Berdasarkan kajian selidik yang dilakukan tim Hartabumi.com via online, rata-rata penggunaTenaga Nasional Berhad (TNB) tidak tahu langkah dan cara jimat elektrik sedangkan sebenarnya terdapat pelbagai cara untuk penjimatan bil elektrik sehingga 50%.
Info menarik yang ramai terlepas pandang bahawa terdapat 5 peralatan atau perkakas elektrik yang menjadi punca bil elektrik rumah anda melambung tinggi adalah:-
- Microwave / Oven.
- Komputer.
- Televisyen.
- Pengecas telefon.
- Dekoder TV.
Punca bil elektrik rumah yang mahal sebenarnya berbalik kepada cara penggunaan kita terhadap perkakas elektrik dalam kehidupan seharian kita.
Berapa ramai di antara kita yang gemar sekali memasang penghawa dingin tidak kira siang dan malam, dan berapa ramai diantara kita benar-benar telah menutup setiap suis dan mencabut plug sebelum keluar dari rumah?
Cara Jimat Bil Elektrik
Tim Hartabumi kali ini kongsikan kepada anda langkah yang lebih praktikal dalam memastikan anda mampu membuat penjimatan kos utiliti dengan pendedahan cara jimat bil elektrik ini.
1. Kurangkan Guna Pemanas Air.
Sungguhpun menggunakan pemanas air pada waktu pagi adalah lebih menyamankan berbanding air sejuk yang membeku, anda perlu tahu pemanas air menggunakan elektrik yang banyak.
Boleh saja anda selang selikan penggunaan air panas dengan air sejuk, dan mandi menggunakan air sejuk terbukti lebih menyihatkan berbanding menggunakan air panas.
2. Guna Mentol LED.
Anda disarankan menggunakan mentol yang jimat tenaga seperti mentol jenis ‘pendaflour’. Sungguhpun kosnya agak tinggi, tetapi ia mampu menjimatkan bil elektrik rumah anda.
Gunakan lampu jenis LED jika anda ingin membuka lampu tersebut dalam jangka masa lebih dari 6 jam setiap hari.
3. Cabut Plug Yang Tidak Digunakan.
Sikap mencabut plug yang tidak digunakan di kalangan rakyat Malaysia masih tidak popular dan menjadi punca elektrik terus berjalan tanpa henti sungguhpun anda tidak menggunakannya.
Tips terbaik ialah untuk mencabut setiap plug yang tidak digunakan sebelum anda keluar dari rumah.
4. Cop ‘Energy Star’ Pada Peti Sejuk.
Bagi mereka yang baru berpindah masuk ke rumah baru, anda dinasihatkan untuk membeli peti sejuk dengan cop ‘energy star’. Lebih banyak bintang, maka lebih jimat elektrik peti sejuk tersebut.
Bergantung kepada saiz peti sejuk dan bajet anda, peti sejuk dengan ‘energy star’ mampu anda dapatkan serendah RM1000 di pasaran hari ini.
5. Guna Penghawa Dingin Berkala.
Tabiat kedua orang Malaysia ialah gemar membuka penghawa dingin hingga 16 darjah celcius untuk waktu yang lama dan membiarkan sahaja penghawa dingin tersebut tanpa menggunakannya.
Tips jimat bil elektrik terbaik adalah dengan menggunakan penghawa dingin pada waktu siang sahaja dan buka pada suhu 23 – 25 darjah celcius untuk 30 minit sahaja sebelum menggunakan kipas.
6. Menggunakan Penebat (Insulation).
Fungsi penebat haba ini ialah untuk mengurangkan haba memasuki rumah sekaligus menyejukkan dalaman rumah. Kosnya tidaklah terlalu mahal dan bergantung kepada bajet anda.
Terdapat dua jenis penebat yang anda boleh gunakan iaitu :-
- Roofing insulation.
- Cat insulation.
Cara jimat bil elektrik yang paling efektif dan efisien ialah dengan memastikan setiap plug barangan elektrik dicabut apabila tidak digunakan dan hanya menggunakan peralatan elektrik pada kadar minimum sahaja. – 24/7 news