KUCHING: Pakatan Harapan Sarawak hanya akan mengumumkan senarai calonnya selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon dan mengundi untuk pilihan raya umum ke-14.
Pengerusinya Chong Chien Jen dalam sidang media di ibu pejabat DAP di sini semalam berkata, senarai calon DAP, PKR dan Amanah telah dimuktamadkan.
Pakatan Harapan sebelum ini menyatakan sasarannya untuk memenangi sepuluh kerusi, pertambahan empat kerusi daripada enam yang dimenanginya pada 2013.
Beliau yang juga Pengerusi DAP negeri berkata, parti itu akan bertanding dua kerusi kurang daripada PRU-13 dengan kini menyerahkan Mukah dan Lawas untuk ditandingi PKR kerana parti terbabit mempunyai jentera akar umbi dan calon yang lebih baik di kawasan berkenaan.
DAP akan bertanding di sembilan kerusi, PKR 16 kerusi dan Amanah enam kerusi.
“Tidak ada pertelagahan dari segi agihan kerusi dan keputusan dibuat sebulat suara,” katanya.–Sarawakvoice