WASHINGTON: Rangkaian sosial terbesar dunia, Facebook (FB) terpaksa bergantung kepada Twitter hari ini untuk menjelaskan gangguan yang dihadapi aplikasi itu di seluruh dunia.
Sejumlah pengguna FB dan beberapa platform lain yang dimiliki gergasi teknologi itu termasuk Instagram, Messenger dan WhatsApp, berdepan masalah untuk mengakses perkhidmatan itu.
Akibatnya ramai pengguna beralih ke Twitter untuk meluahkan kekecewaan mereka.
Difahamkan gangguan bermula petang semalam dan menjejaskan pengguna di beberapa kawasan, termasuk Amerika Syarikat, Amerika Tengah dan Selatan, serta Eropah, lapor tweet dan laman pengesan gangguan, DownDetector.com yang dipetik CNN.
“Kami sedar sejumlah pengguna sedang berdepan masalah mengakses aplikasi keluarga Facebook. Kami sedang berusaha menyelesaikan masalah itu secepat mungkin,” kata Facebook di twitter.
Facebook turut menafikan khabar angin bahawa gangguan itu disebabkan serangan penggodam yang menggunakan ‘distributed denial-of-service (DDos). – Agensi