JAKARTA: Gempa bumi 6.9 magnitud melanda perairan Sulawesi dan Maluku, Indonesia hari ini, kata Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), sehingga mencetuskan amaran tsunami dan menyebabkan penduduk keluar dari rumah.
USGS berkata, gempa melanda pada kedalaman 24 kilometer dan berpusat di perairan Molucca antara utara Sulawesi dan utara Maluku.
Agensi geofizik Indonesia mengeluarkan amaran tsunami kepada penduduk yang tinggal berhampiran pantai.
Setakat ini, tiada laporan kerosakan atau kemalangan jiwa berlaku, namun penduduk di bandar Ternate di wilayah utara Maluku dikatakan panik apabila gempa berlaku.
“Saya yang sedang bersiap untuk tidur apabila tingkap tiba-tiba bergegar,” kata seorang penduduk, Budi Nurgianto memberitahu AFP.
Indonesia kerap mengalami gegaran seismik dan aktiviti gunung berapi berikutan kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik, di mana plet tektonik bertembung.AFP