SEDAR tekad tawan Sarawak PRN12 0 6522

KUCHING: Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) tekad mengambil alih kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 walaupun dilabel sebagai ‘parti politik baharu’ di negeri ini khasnya.

Presidennya Datuk Othman Abdillah berkata parti itu yang diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 28 Mei 2019 akan bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN ke-12 nanti.

“Parti Sedar Rakyat Sarawak adalah sebuah parti politik bebas. Kami tidak ada pertalian atau hubungan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Pakatan Harapan (PH).

“Kami akan bertanding di kesemua 82 kerusi DUN pada PRN ke-12 nanti. Kami akan menentang calon GPS dan PH dan kami mahu mengambil alih kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Kongres Umum Tahunan yang pertama bagi parti itu di sebuah hotel di sini, malam Ahad.

Othman berkata sebagai permulaan, parti itu akan menubuhkan cawangan di kesemua 82 kawasan DUN dan membuka pendaftaran keahlian menerusi dalam talian dalam tempoh seminggu lagi.

Tambahnya lagi, ramai calon bebas yang bertanding pada pilihan raya sebelum ini menyatakan hasrat menyertai SEDAR dan mahu bertanding menggunakan tiket parti itu pada PRN ke-12 nanti.

Bagaimanapun, ujarnya keputusan calon yang akan bertanding mewakili parti itu akan ditentukan oleh Majlis Kerja Tertinggi parti.

“Hala tuju parti apabila kami berjaya mengambil alih kerajaan negeri ialah membantu meringankan beban rakyat dengan memberi bantuan kewangan kepada rakyat negeri ini yang berusia 18 tahun dan ke atas.

“Bagi tujuan itu kita akan menubuhkan Tabung Hak Rakyat Sarawak dan sebagai permulaan kita akan memberi bantuan RM100 kepada setiap rakyat Sarawak berusia 18 tahun dan ke atas,” katanya.

Menjelas lanjut, Othman berkata bagi mendapatkan sumber kewangan untuk tabung itu, SEDAR akan memfokus kepada sektor pertanian moden dan perusahaan.

“Kami mempunyai tanah yang luas boleh diusahakan dengan sektor pertanian moden. Kita akan menanam tebu, kelapa sawit, kelapa dan nanas.

“Usaha kita tidak berhenti di situ sahaja, tetapi diperluaskan kepada sektor hiliran. Keuntungan setiap perusahaan yang diusahakan parti, 49 peratus daripada akan disalurkan kepada Tabung Hak Rakyat Sarawak manakala 51 peratus lagi untuk pembangunan negeri,” jelasnya.

Beliau berkata kerajaan negeri yang akan ditubuhkan oleh SEDAR apabila berjaya mengambil alih kerajaan akan mentadbir negeri ini mempunyai visi, konsep serta pendekatan baharu.

Kerajaan baharu di bawah SEDAR katanya tidak akan bergantung sepenuhnya kepada sumber kewangan daripada sumber minyak dan gas yang bakal lenyap dalam tempoh 10 tahun lagi.

“Kita sangat kecewa kerana Sarawak negeri yang kaya dengan pelbagai sumber tetapi rakyatnya masih miskin. Kenapa?

“Kita akan guna konsep, cara dan pendekatan yang baharu untuk mentadbir Sarawak jika berjaya mengambil alih kerajaan. Kita mahu kekayaan Sarawak dikongsi semua rakyatnya

“Cara lama iaitu menunggu duit dari hasil minyak, dari Kuala Lumpur tidak boleh digunakan lagi,” katanya.

Mengenai ahli Majlis Kerja Tertinggi parti itu, Othman berkata kongres julung kali itu menyaksikan 18 orang dilantik.

Abang Halit Abang Malik dipilih sebagai Timbalan Presiden manakala tiga naib presiden ialah Khairul Hanizan Amit, Mark Edmund Kasa dan Rabaiah Tudin.

Abang Ahmad Abang Suni pula dipilih sebagai setiausaha agung, Zaidel Mohidin selaku bendahari Agung, penolong setiausaha agung Ishad Buji, Darius Wil pula sebagai penolong bendahari agung.

Sembilan lagi ahli majlis parti itu ialah Jery’in Fauzi, Sejeli Ajem, Yakup Khalid, Syazwan Apandi, Suffian Muhamed, Abd Rahim Mahmud, Steward Pelok, Adelynna Tok dan Julia Fredarina Munah Payeng. – Utusan Borneo Online

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

COVID-19 tidak halang Sarawak adakan PRN 0 5436

COVID-19 tidak halang Sarawak adakan PRN

SIBU: Pandemik COVID-19 tidak akan menghalang Sarawak daripada mengadakan Pilihan Raya Negeri ke-12 mengikut undang-undang, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing hari ini.

Ketika ditanya mengenai kebimbangan dalam kalangan rakyat bahawa negeri ini akan menerima nasib yang sama seperti Sabah yang menyaksikan peningkatan kes COVID-19 selepas mengadakan pilihan raya negeri pada 26 September lalu, beliau berkata pilihan raya itu masih boleh diadakan dengan syarat prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan ketat.

“COVID-19 adalah satu faktor tetapi ada negara yang mengadakan pilihan raya pada tempoh pandemik ini. Antaranya Singapura, Korea Selatan dan baru-baru ini, New Zealand.

“Mereka mengadakan pilihan raya tanpa masalah dengan syarat SOP dipatuhi dengan ketat,” katanya.

Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan upacara pecah tanah untuk Pakej A: Pembinaan dan Penyiapan Cadangan Jalan Sungai Bidut/Kampung Sebedil/Kampung Bungan Kecil di Bawang Assan hari ini.

“Kita tiada pilihan, jika kita tidak buat sekarang, selepas lima tahun (tempoh tamat) secara automatik Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan,” katanya dan menambah beliau tidak tahu apa-apa peruntukan yang membolehkan sesuatu pilihan raya ditangguhkan.

Beliau mengulangi bahawa sekiranya pilihan raya tidak diadakan, pada Jun tahun hadapan DUN akan dibubarkan dan Sarawak tidak akan mempunyai kerajaan.

“Keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri untuk memberi laluan kepada pilihan raya terletak kepada ketua menteri,” tambahnya.

Mengenai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang akan bertanding di Bawang Assan pada pilihan raya negeri nanti, Masing berkata ia bergantung kepada calon yang ditentukan oleh Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan disokong Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS.

Masing berkata siapa pun calon, pengundi harus memberi sokongan penuh terhadap perubahan yang akan dilakukan di kawasan itu selepas mereka dipinggirkan begitu lama dari segi pembangunan infrastruktur.

Untuk GPS, kerusi Bawang Assan secara tradisionalnya diperuntukkan kepada SUPP dan penyandangnya kini adalah Presiden Parti Sarawak Bersatu, Datuk Seri Wong Soon Koh yang dilaporkan akan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya negeri akan datang.

Wong yang memenangi kerusi itu apabila bertanding buat pertama kali sebagai calon SUPP pada pilihan raya negeri 1996, tidak pernah kalah dan menang sekali lagi pada 2016 walaupun beliau meninggalkan SUPP kerana masalah dalaman dan membentuk Parti Rakyat Bersatu (UPP), sebuah parti mesra Barisan Nasional.

Sementara itu, mengenai projek jalan raya 21.7 kilometer (km) bernilai lebih RM104.5 juta, Masing berkata apabila siap pada November tahun hadapan, ia akan menghubungkan Kampung Tutus, Kampung Sebedil dan Kampung Bungan Kecil ke bandar Sibu.

Beliau berkata Pakej B projek itu akan membabitkan pembinaan jalan raya sepanjang 16 km dengan kos RM200 juta menghubungkan kawasan berkenaan dengan Jambatan Igan sejauh 1.38 km yang sedang dibina di Igan, Mukah bernilai RM285 juta. – BERNAMA – Berita Harian

Spread the news

Beri peluang PM selesai krisis pandemik 0 5411

Beri peluang PM selesai krisis pandemik

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu diberi masa untuk menyelesaikan krisis pandemik COVID-19 yang ketika ini melanda negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata selain krisis pandemik, negara ketika ini turut diuji dengan isu ekonomi, sekali gus menuntut semua pihak mengenepikan masalah kecil dan kembali kepada penyatuan serta perpaduan, selain muafakat dan kerjasama.

“Tak payahlah kita fikir pengganti buat masa ini…kita muafakat, bantu kerajaan. Bila COVID-19 reda, segera bubar Parlimen dan serah (mandat) pada rakyat.

“USA (Amerika Syarikat) lagi banyak kes COVID-19 dan mereka pun ada pilihan raya. Beri peluang PM (Perdana Menteri) selamatkan negara dan nyawa rakyat dulu. Saya percaya PM serah pada rakyat,” katanya melalui Twitter, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah portal mengenai kenyataan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon yang layak untuk menggantikan Muhyiddin.

Menerusi satu lagi ciapan, Annuar menegur kenyataan dibuat Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, yang menuduh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menentang semangat setiakawan.

“Adalah baik sekiranya kita semua mengurangkan selar-menyelar secara terbuka kerana ia tak banyak membantu. Mari kita harmonikan situasi dan pandang ke hadapan. Sesiapa yang lebih ramai kawan akan menang ke atas mereka yang mencipta permusuhan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui selepas program Operasi Sanitasi Awam, di Presint 4, di sini, hari ini, Annuar mengulangi kenyataan sama dengan menuntut semua pihak mengutamakan kerjasama dan penyatuan..

“Kepada parti politik termasuk parti saya sendiri dan kawan-kawan serta saya sendiri, saya fikir kita kena utamakan kerjasama dan penyatuan.

“Kalau kita dah stabil (krisis COVID-19) seperti itu dan kalau nampak keadaan (politik) masih tidak stabil kerana masing-masing pihak ada majoriti tipis, kita adakah pilihan raya umum.

“Kita bincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mungkin adakan pilihan raya secara maya. Apabila berlaku ketidakstabilan akan ada pihak merasakan mereka boleh menjadi perdana menteri,” katanya. – Berita Harian

Spread the news