SINGAPURA: Harga minyak susut hari ini selepas data industri menunjukkan peningkatan tidak dijangka dalam inventori minyak mentah di Amerika Syarikat (AS) dan ketika mana pelabur menunggu berita sama ada pusingan baharu tarif AS ke atas barangan China akan berkuat kuasa pada Ahad.
Niaga hadapan Brent susut 44 sen, atau 0.7 peratus, kepada AS$63.90 satu tong pada 0342 GMT.
Harga West Texas Intermediate (WTI) turun 33 sen, atau 0.6 peratus, kepada AS$58.91 satu tong, turun daripada paras tertinggi dua bulan yang di cecah pada Selasa.
“Pada masa ini, semua orang menjangkakan pengurangan ketara dalam inventori, tetapi ia meningkat,” kata Tony Nunan, pengurus risiko minyak di Mitsubishi Corp.
Simpanan minyak mentah AS mencatat peningkatan mengejut pada minggu baru berakhir, manakala inventori petrol dan minyak disuling juga meningkat, demikian menurut data kumpulan industri American Petroleum Institute (API).
Inventori minyak mentah menokok sebanyak 1.4 juta tong pada minggu berakhir 6 Disember kepada 447 juta, sementara penganalisis menjangkakan penyusutan 2.8 juta tong. – Reuters