KUCHING: Kualiti udara di Sarawak berada dalam keadaan sederhana setakat pukul 4 petang ini.
Menurut laporan terkini dalam laman sesawang Jabatan Alam Sekitar Malaysia, Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi kawasan Kuching mencatat IPU 78, Samarahan (68), Sri Aman (76), Sarikei (74), Sibu (71), Mukah (78), Kapit (63), Bintulu (70), Miri (72) dan Limbang (66).
Dua hari lepas kawasan yang mencatatkan indeks IPU tertinggi adalah Kuching, Serian, Mukah, Sibu dan Bintulu ekoran cuaca panas yang berlarutan selama seminggu.
Keadaan kualiti udara diburukkan lagi dengan kebakaran belukar tanah gambut di Daro, di kawasan tengah negeri ini dan jerebu rentas sempadan dari Kalimantan Barat, Indonesia. – BERNAMA