Sabtu | 27 Julai 2019
>> GLOBAL > > Isteri hidup balik selepas 14 tahun ‘mati’
Isteri hidup balik selepas 14 tahun ‘mati’
TERJEMAHAN SINAR HARIAN | | 26 Julai 2019
Selepas 14 tahun, rahsia wanita itu akhirnya terbongkar selepas seorang rakan Prakash bertembung dengan Bhikhiben di sebuah daerah di Mehsana, Gujarat baru-baru ini.
A A
NEW DELHI – Polis di sebuah daerah Balwa di Gujarat, India bingung sewaktu menerima laporan seorang lelaki, Prakash Amritbhai Panchal yang mendakwa isterinya hidup semula selepas 14 tahun disangka mati.
Lapor portal berita, India Today, lebih mengejutkan, isterinya, Bhikhiben tergamak membunuh seorang wanita lain sebelum dibakar untuk memalsukan kematiannya.
Tindakan Bhikhiben yang tidak ubah seperti skrip sebuah filem itu rupa-rupanya dilakukan demi untuk membolehkan dia melarikan diri dengan kekasihnya, Vijubha Rathod pada tahun 2005.
Selepas 14 tahun, rahsia wanita itu akhirnya terbongkar selepas seorang rakan Prakash bertembung dengan Bhikhiben di sebuah daerah di Mehsana, Gujarat baru-baru ini.
Prakash dan rakannya kemudian membuat siasatan sendiri sebelum mendapati Bhikhiben telah menukar identitinya bagi mengelakkan dia dijejaki.
Bhikhiben juga telah berkahwin dengan Vijubha.
Prakash kemudian membuat laporan polis bagi membolehkan polis menjalankan siasatan untuk mengesahkan sama ada wanita yang dijumpai mereka itu benar-benar isterinya yang hilang 14 tahun lalu.
Selepas ditahan polis, Bhikhiben kemudian mengakui malam sebelum melarikan diri pada Februari 2005, dia telah membunuh seorang wanita yang sakit mental di kampungnya itu.
Wanita itu kemudian dipakaikan pakaian milik Bhikhiben sebelum dibakar di belakang rumah Prakash.
Keesokannya Prakash yang mendapati Bhikhiben tiada di rumah kemudiannya menemui jasad seorang wanita dalam keadaan rentung di belakang rumahnya.
Prakash percaya Bhikhiben membakar diri sendiri kerana pada malam kejadian mereka bergaduh besar. – Sinar Harian