SIBU: Seorang lelaki berusia 62 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam penganjuran pertaruhan judi Bola Sepak Piala Dunia 2018 di sini pada jam 8.00 malam semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Denis Leong dalam satu kenyataan berkata, pihaknya yang bertindak atas maklumat telah menyerbu sebuah rumah di Rejang Park yang dijadikan lubuk mengumpul pertaruhan bola sepak menjelang Piala Dunia 2018 serta aktiviti penjualan loteri haram.
Katanya, pasukan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu turut merampas sebuah telefon bimbit, beberapa slip kertas pertaruhan dan wang tunai berjunlah RM545.
Menurutnya, JSJ Sarawak telah melancarkan operasi terhadap aktiviti pertaruhan perjudian bola sepak menjelang musim demam Bola Sepak Piala Dunia 2018 pada 10 Jun lalu.
Suspek disiasat di bawah Akta Pertaruhan dan Akta Rumah Judi Terbuka. – Utusan Borneo Online