KUCHING: Seorang guru sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Jalan Chawan di sini ditangkap kerana men’staple’kan hingga cedera telinga seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun yang diasuh di premis tersebut pada Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata wanita berusia 26 tahun itu ditangkap untuk diambil keterangan pada Jumaat dan dibebaskan pada hari sama dengan jaminan polis.
Menurutnya, laporan dibuat ibu bapa mangsa selepas mendapati terdapat kesan cedera pada telinga kiri anaknya.
“Mangsa dijemput pulang dari sekolah sekitar jam 11.30 pagi dan didapati terdapat kecederaan ditelinga disyaki kesan di’stapler’.
“Mangsa kemudian memberitahu seorang guru wanita yang berbuat demikian terhadapnya menyebabkan ibu bapa mangsa terus membuat laporan pada hari berikutnya.
“Bertindak atas laporan tersebut, suspek ditangkap dan diambil keterangan sebelum dibebaskan pada jam 11.45 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – Utusan Borneo Online