PETALING JAYA: Dua badan pemikir memberi amaran bahawa kenaikan harga tembakau akan menyuburkan lagi pasaran gelap untuk rokok.
Memberi respons kepada kenyataan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefli Ahmad semalam, Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata adalah lebih bijak sekiranya kerajaan mengkaji cara lain untuk mengurangkan tabiat merokok.
Ketua eksekutif Galen, Azrul Mohd Khalib berkata, kenaikan harga hanya akan mendorong perokok tegar beralih kepada rokok haram yang lebih murah.
Pandangan sama turut dikongsi oleh Ali Salman, ketua pegawai eksekutif Institut Demokrasi dan Hal-ehwal Ekonomi (Ideas).
Semalam, dalam satu sidang media, Dzulkefli berkata cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan menyebabkan harga semua hasil tembakau meningkat bulan depan.
Azrul mengakui peningkatan harga boleh menyebabkan perokok muda dan “sensitif-harga” berfikir untuk berhenti merokok, tetapi katanya perokok ketagih hanya akan beralih kepada rokok lebih murah, seperti rokok haram.
Beliau berkata, kajian tahun lepas oleh Nielsen Malaysia, mendapati pasaran gelap mewakili 60% daripada rokok yang diniagakan di Malaysia pada Disember 2016.
“Ini adalah realiti yang perlu ditangani melalui penguatkuasaan lebih baik dan agresif oleh Jabatan Kastam,” katanya.
Beliau menggesa pengukuhan dan peluasan program kerajaan bertujuan memberi sokongan kepada perokok yang mahu berhenti merokok, dengan berkata program berkenaan menunjukkan hasil yang baik.
Katanya, hasil daripada cukai tembakau di Australia disalurkan ke arah pengukuhan program kesihatan. “Kita tidak buat begitu di Malaysia,” katanya. “Mungkin telah tiba masanya untuk berbuat demikian.”
Ali Salman berkata, pertumbuhan pasaran gelap rokok menyebabkan kerajaan kehilangan hasil berjumlah berbilion ringgit, dan menambah bahawa cukai lebih tinggi tidak berkesan mengurangkan tabiat merokok.
Beliau sebaliknya mencadangkan “penyelesaian berdasarkan-pasaran” seperti menjual rokok dalam bungkusan kecil.
Katanya, harga rokok dalam bungkusan kecil yang lebih murah boleh menggalakkan perokok membelinya berbanding rokok haram dalam bungkusan besar. Dengan cara itu, mereka juga akan mengurangkan tabiat merokok, tambahnya.
Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Selangor mengalu-alukan kenaikan harga itu, tetapi berkata langkah tersebut perlu disertakan dengan pemantauan dan penguatkuasaan lebih baik terhadap pasaran gelap rokok. – FMT