Kerajaan Sarawak akan menggunakan dokumen yang diperoleh dari London berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk menyokong apa-apa tuntutan bagi mempertahankan hak Sarawak.
Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek negeri, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata dokumen itu juga penting untuk simpanan dalam arkib negara.
“Kesemua dokumen itu penting, kita bawa balik kesemuanya kerana kita sendiri tidak menyimpan bukti-bukti tersebut ketika perjanjian itu dibuat dahulu.
“Sekarang dokumen-dokumen itu disimpan rapi di pejabat Jabatan Peguam Negara (SAG) negeri untuk dikaji,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri semalam.
Hasidah berkata berdasarkan penelitiannya, semangat yang ditunjukkan di sebalik perjanjian MA63 itu amatlah penting dan berharga.
“Semua minit mesyuarat, surat bertulis dan fakta-fakta dari pemimpin yang terdiri daripada pelbagai komuniti disimpan rapi, betapa pentingnya suara majoriti ketika itu sebelum perjanjian tersebut dipersetujui,” katanya.
– Bernama