KUCHING: Kerusi Dayak tetap kekal dimiliki Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Keyakinan itu dinyatakan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing yang turut meramalkan bahawa kerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) di bandar akan tewas kepada SUPP.
“Ramalan saya adalah kerusi Dayak akan kekal dimiliki oleh GPS dan kerusi bandar (DAP) akan tewas kepada SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak),” katanya menerusi kenyataan kepada Utusan Borneo di sini, semalam.
Masing yang juga presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (PRS) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen bahawa PRN akan datang menjadi pertarungan kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara persekutuan dan negeri, yang digambarkan sebagai ‘pertarungan hebat’.
Masing menyifatkan Chong mempunyai imaginasi yang terlalu kuat, bukan sahaja menerusi janjinya tetapi menerusi kata-katanya.
“Terdapat dua kerajaan di Sarawak, iaitu GPS dan PH… yang mana satu ‘anang ngelaban perintah’? PH atau GPS?
“Di persekutuan, GPS memang pembangkang, tetapi di peringkat negeri, PH pula adalah parti pembangkang,” tegasnya.
Malahan Masing turut yakin GPS akan menang besar PRN akan datang kerana percaya PH tidak dapat bergantung kepada janji-janji mereka untuk menarik pengundi di Sarawak.
Katanya, rakyat Sarawak mengetahui sejauh mana kerajaan PH dapat menunaikan janji mereka.
“Tidak mahu diperbodohkan dua kali,” katanya.
Sebelum ini pada Majlis Makan Malam Harapan Sarawak Baharu Chong dilaporkan berkata, PH merupakan kerajaan persekutuan, GPS adalah kerajaan negeri dan GPS adalah kerajaan kecil berbanding PH kerajaan besar.
“GPS menghangatkan sentimen rakyat bahawa pakatan adalah parti Malaya. Ini adalah mesej yang mengelirukan dan tidak benar.
“Pakatan Harapan adalah parti nasional dan untuk membawa perubahan kepada Sarawak anda memerlukan parti nasional dan bukannya parti tempatan seperti GPS,” katanya. – Utusan Borneo Online