KUALA LUMPUR: Polis menahan pemilik akaun Facebook ‘Danny A’antonio Jr’ semalam kerana memuat naik komen jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata suspek berusia 28 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan (atas alasan agama menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau pemusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan).
“Siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dan lain-lain.
“Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Fuzi turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial atau apa-apa rangkaian komunikasi dengan memuat naik atau berkongsi sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman, sehingga membangkitkan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
Tiga individu ditahan pada Selasa dan seorang lagi masih diburu polis kerana disyaki menghina agama Islam termasuk kes menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri Baginda, Saidatina Aisyah.
Sehingga semalam, polis menerima 929 laporan polis di seluruh negara berhubung kes itu dan membuka 16 kertas siasatan bersabit kes penghinaan agama Islam.– BERNAMA