LIVERPOOL: Jurgen Klopp berkata Liverpool perlu belajar menyesuaikan diri dengan status sebagai juara Eropah menjelang pertembungan menentang juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City pada aksi Perisai Komuniti, malam esok (jam 10 malam waktu Malaysia).
Pengurus The Reds itu mengakui anak buahnya mendapat tumpuan yang lebih susulan kejayaan pasukan itu muncul juara Liga Juara-Juara dengan menewaskan Tottenham Hotspur dalam aksi final, Jun lalu.
Bagaimanapun, Klopp yakin barisan pemainnya tidak akan membenarkan sebarang bentuk gangguan untuk mereka fokus bagi mengharungi musim baharu.
“Jika kamu menang sesuatu, semua orang akan rasa perlu untuk beritahu kepada kamu – mereka akan ucapkan tahniah, selepas itu di mana mereka menyaksikan perlawanan, bagaimana mereka menyaksikannya, bagaimana perasaan mereka dan bagaimana perasaan keluarga dan rakan-rakan mereka.
“Semuanya indah, tetapi ia harus menjadi kenangan kamu saja. Saya mahu semua pemain fokus sepenuhnya bagi mengharungi musim baharu.
“Ia sangat penting dan kami akan belajar. Perkara seperti ini tiada dalam mana-mana buku, kamu perlu belajar sendiri,” kata Klopp.
ADVERTISING
Klopp memberitahu tiada tekanan tambahan buat anak buahnya selepas menjulang kejuaraan Eropah buat kali keenam dan tanpa pemain berprofil tinggi yang dibawa masuk bagi mengharungi musim baharu.
Hanya Daniel Sturridge dan Alberto Morena daripada skuad yang muncul juara Liga Juara-Juara meninggalkan pasukan manakala pemain bintang seperti Mohamed Salah, Sadio Mane, Roberto Firmino, Trent Alexander-Arnold dan Andrew Robertson ditawarkan kontrak baharu untuk kekal di Anfield.
“Inilah perpindahan yang kami lakukan dengan memastikan semua pemain kekal bersama dan terus dahagakan kejayaan,” katanya.
Selepas mengharungi detik sukar sepanjang aksi pra musim dengan ketiadaan beberapa pemain utama yang mempunyai tugasan antarabangsa, Klopp teruja untuk mengumpulkan semua pemainnya aksi pertama Liga Perdana Inggeris menentang Norwich City, pada 10 Ogos nanti.
Ketika harapan semakin tinggi untuk menyaksikan trofi liga kembali ke Anfield, Klopp bagaimanapun menegaskan City masih kekal sebagai pasukan pilihan untuk muncul juara buat kali ketiga berturut-turut.
“Mereka sudah menang dua kali berturut-turut…Kami perlu buktikan sekali lagi kami boleh berada pada tahap itu – 97 mata bukan sekadar kebetulan,” katanya. – AFP