KUCHING: Dua hari berturut-turut mengamuk di rumah jiran bersenjatakan samurai menyebabkan seorang lelaki ditangkap ekoran laporan polis yang dibuat terhadapnya.Suspek berusia 25 tahun berasal dari Kampung Tabuan Foochow di sini dikatakan pergi ke rumah jirannya itu pada Rabu lepas sekitar jam 7.45 pagi dan bertindak menghayun samurai ke arah pemilik rumah.
“Suspek melibas samurai sebanyak tiga kali ke arah pemilik rumah dan pada hari berikutnya, suspek yang masih tidak berpuas hati dikatakan datang semula bersama tiga rakan subahatnya.“Ketika itu, suspek bersama rakan subahatnya dikatakan bertindak merosakkan harta benda di rumah tersebut sebelum beredar dari tempat kejadian,” kata sumber.
Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu suspek berjaya ditangkap di rumahnya sekitar jam 9 pagi kelmarin.“Turut dirampas daripada suspek adalah sebilahpedang panjang yang digunakannya semasa kejadian tersebut,” jelasnya.
Menurutnya, suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine selepas melalui ujian airkencing.“Suspek akan direman untuk membantu siasatan dan usaha menjejaki tiga lagi rakan subahatnya juga giat dijalankan,” katanya.Siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan di bawah Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan. – Utusan Borneo Online