KANOWIT: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah pikap di satu selekoh di Jalan Nibong-Tada berhampiran Nanga Bawan, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Daniel Desmond Benjamin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dikenali sebagai Elvis Angie, 24 dalam perjalanan pulang ke rumah di Rh Paulus, Skim Penempatan Semula Nanga Tada dari tempat kerja, sekitar pukul 5.30 petang tadi.
“Apabila sampai di selekoh di Nanga Bawan,Jalan Nibong Tada, mangsa yang menunggang motosikal tiba-tiba terbabas memasuki lorong bertentangan selepas melalui selekoh tersebut,” katanya sambil menambah, pemandu pikap yang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dari bertembung dengan motosikal tersebut.
Mangsa yang cedera parah di bahagian kepala dan anggota badan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayatnya mangsa dihantar ke Hospital Kanowit untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, mangsa meninggalkan seorang balu dan anak tunggal perempuan berusia lima tahun.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Utusan Borneo Online