SIBU: Dakwaan tiga anggota pengganas yang berkemungkinan berada di bandar ini untuk melakukan serangan bom adalah tidak benar, tegas Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit.
“Untuk makluman, ketiga-tiga individu tersebut telah ditangkap dan kenyataan yang mengatakan bahawa tiga individu ini berada di Sarawak dan merancang untuk mengebom gereja di Sibu dan Bintulu adalah tidak benar dan palsu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai mesej tular yang memaparkan muka tiga anggota kumpulan pengganas. Dalam mesej tular itu, kumpulan itu didakwa ingin membuat serangan bom di gereja dan disyaki berada di Sibu atau Bintulu.
Stanley pada masa sama menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan gambar atau sesuatu berita yang belum diketahui kesahihannya.
“Penyebaran gambar dan kenyataan tersebut oleh mereka yang tidak bertanggungjawab telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat awam kerana viral (tular) itu tidak benar,” katanya. – Utusan Borneo Online