MIRI: Pelajar kolej meninggal dunia akibat cedera serius di kepala, dipercayai selepas bergaduh dengan teman lelakinya, di Lambir petang tadi.
Doris Daun Bila, 22, berasal dari Long Moh Baram, disahkan meninggal dunia di Hospital Miri, jam 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah, berkata berikutan itu polis menahan teman lelaki mangsa berusia 23 tahun untuk membantu siasatan kes itu.
“Suspek ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya hari ini.
Beliau berkata, sehari sebelum kejadian mangsa dan teman lelakinya minum arak bersama beberapa rakan di Sungai Sentulai Baru, dekat Lambir.
Katanya, mangsa dan suspek dipercayai bergaduh dalam kereta ketika dalam perjalanan balik ke Miri.
“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Miri oleh abang suspek, namun disahkan meninggal dunia, akibat cedera serius” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke rumah mayat Hospital Miri untuk bedah siasat. -Berita Harian