MIRI: Seorang pemandu rentung selepas keretanya terbakar berhampiran jambatan Sungai Adong, Jalan Sawit, tidak jauh dari Litar Gokart Miri, dekat sini, awal pagi tadi.
Identiti mangsa bagaimanapun belum dikenal pasti.
Lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng menaiki sebuah jentera pemadam api dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), berkejar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 2.22 pagi.
Sebaik tiba di lokasi kejadian sekitar 3.25 pagi, pasukan bomba menemukan seorang mangsa rentung di dalam kenderaan tersebut.
“Identiti mangsa tidak diketahui dan kerja-kerja pemadaman dibuat sehingga selesai.
“Setelah pihak forensik membuat siasatan awal, mangsa kebakaran diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” demikian menurut kenyataan bomba di sini, pagi tadi. – Utusan Borneo Online