KUCHING: Tiga bas hidrogen berjaya menjalani tempoh percubaan hari pertama semalam, tanpa apa-apa kerosakan tetapi masih perlu menjalani tempoh ujian se-hingga 14 Ogos ini.
Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Abdul Hadi Abdul Kadir berkata meskipun belum menerima laporan rasmi hasil ujian hari pertama, beliau dimaklumkan ia tidak bermasalah.
“Setakat ini ia sukses, tetapi memerlukan masa lebih lama lagi untuk mengetahui prestasi sebenarnya.
“Mungkin ia perlu ubah suai sedikit berdasarkan permukaan jalan kita yang agak kasar,” katanya ketika dihubungi dan tidak dapat mengulas lebih terperinci daripada aspek teknikal.
Tempoh percubaan itu adalah untuk menguji kadar penggunaan bahan api hidrogen yang kemudiannya akan menentukan kapasiti pengisian dan operasi loji hidrogen akan dioptimumkan.
Bas hidrogen yang pertama di Malaysia itu dimiliki SEDC – inisiatif Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ke arah meningkatkan mutu perkhidmatan awam, malah mesra alam.
Ia akan menjalani tempoh percubaan di beberapa laluan.
Laluan-laluan itu adalah di sepanjang Tebingan Kuching di Jalan Tunku Abdul Rahman ke pantai Damai di Santubong, Jalan Tun Abdul Rahman Yakub ke Medan Niaga Kubah Ria, Jalan Abell, Jalan Padungan, Jalan Sentral Timur, Jalan Tun Haji Openg, Jalan Satok, Jalan Kulas, Jalan Muda Hashim dan Jalan Datuk Ajibah Abol. – Utusan Borneo Online